Wednesday, 30 October 2013

Peran Pemuda Dalam Membangun Negara


Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan, namun remaja yang merupakan bakal tunjangnegara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara sarjana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.” Presiden Soekarno pernah mengungkap, “Berikan saya 10 orang belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.” Ternyatalah di sini bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Oleh itu, setiap remaja perlu memainkan peranan mereka dengan penuh tanggungjawab untuk merencanakan pembangunan negara.

     Peranan signifikan remaja ialah mereka perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dari aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan remaja yang berkualiti demi kepentingan negara. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Remaja juga tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tegasnya, tanpa remaja yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut.
 
     Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin pembangunan negara jika remaja kita tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang ingin membangunkan negaea perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baharu yang penuh dengan kompetitif, remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja kita harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan rakyat sihat, negara maju. Jadi, remaja yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat melaksanakan pembangunan negara.

     Selain itu, remaja juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Remaja kita harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja menjadi modal insan kelas pertama yang berakhlak mulia dan berjati diri unggul. Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang-orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja berkepemimpinan harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan negara yang maju sama ada secara luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti.

     Seperkara lagi, remaja juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu pembangunan negara yang gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi remaja. Pendek kata, pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif.

     Akhir sekali, remaja juga dapat memainkan peranan mereka untuk membangunkan negara dengan memiliki sikap keterbukaan. Hal ini kerana apabila golongan ini mempunyai sifat sedemikian, mereka lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain. Dalam nada yang serupa, remaja seumpama ini dapat memberi kesan kepada negara kita. Mereka dapat menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Mereka akan menjadipendukung untuk mencapai perpaduan negara atau integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Mereka sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur untuk mencapai misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni, satu bangsa satu bahasa dan satu negara. Maka, sifat keterbukaan remaja sudah pasti dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negaranya dengan penuh komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya.

   Intihanya, semua remaja mempunyai tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjana pembangunan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja yang berkualiti akanmemangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia.

chandrafebriawann.blogspot.com

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua. Ut enim ad minim veniam, quis nostrud exercitation.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright @ 2015

Distributed By Free Blogger Templates | | | |